Pages

Tuesday, June 28, 2011

MODUL DAKWAH & AMAL JAMAI'E


TUGAS SIAPAKAH ITU?

MASA: 20 minit

OBJEKTIF:
• Bersatu teguh, bercerai roboh
• Bekerjasama dalam melakukan sesuatu kerja melahirkan idea yang kreatif dan hasil kerja yang sempurna
• Hindari sifat pentingkan diri sendiri

PELAKSANAAN:
• Fasi akan membacakan handout yang diberikan kepada peserta
• Tanya peserta apa yang mereka faham dari bacaan tersebut
• Fasi beri ulasan


• Fasi boleh menggunakan modul tambahan sekiranya ada masa terluang


LAMPIRAN

Kisah ini adalah tentang
Empat orang yang bernama
Semua, Seseorang,
Sesiapa dan Tiada

Terdapat tugas mustahak
Untuk disempurnakan dan
Semua diminta untuk melakukannya

Sesiapa yakin dapat melakukannya
Seseorang akan melakukannya

Sesiapa mungkin telah melakukannya,
Tetapi Tiada yang melakukannya

Seseorang menjadi marah terhadapnya
Kerana itu tugas Semua

Semua menganggap
Sesiapa sahaja dapat melakukannya
Tiada yang menyedari bahawa
Semua tidak mungkin melakukannya

Perkara ini berakhir dengan
Semua mencemuh
Seseorang apabila
Tiada yang melakukannya apa yang
Sesiapa mungkin telah lakukan.

SEBENARNYA….
TUGAS SIAPAKAH ITU?

PENGENALAN USRAH


PENGENALAN

Islam sangat mengambil berat terhadap pembentukan usrah daripada penganut-penganutnya. Usrah adalah penting bagi mewujudkan suasana kasih sayang dan hormat menghormati. Melalui pembentukan usrah dapat membimbing mereka kepada nilai-nilai yang luhur, memperkukuhkan ikatan di antara mereka dan mengangkat darjat ukhuwah (persaudaraan) mereka dari segenap aspek menuju kepada realiti dan amalan yang nyata.

Usrah bererti keluarga. Dalam konteks remaja bermaksud ikatan yang wujud antara ahli-ahli berasaskan aqidah Islam, ukhuwah fillah dan amal Islami. Usrah adalah ikatan yang menjadi penggerak kepada sesebuah gerakan Islam dan institusi tarbiah yang berkesan untuk melatih ahli dengan sifat-sifat kepimpinan dan pengorbanan yang tinggi untuk Islam.

RUKUN USRAH

Pada dasarnya, usrah mengandungi tiga elemen penting yang mana perlu dipelihara dan dihayati agar usrah yang dibentuk akan mencapai matlamatnya. Tiga rukun tersebut ialah:

1) At-Ta'aruf

Saling kenal-mengenali secara mendalam daripada awal usrah dan secara berterusan atas kesedaran berkasih sayang semata-mata kerana Allah sehingga masing-masing merasakan bahawa setiap ahli adalah sebahagian dari dirinya. Firman Allah dalam Al-Quran :

Maksudnya :
"Sesungguhnya orang-orang mu'min itu adalah bersaudara.." (Al-Hujuraat : ayat 10)

Firman Allah Taala lagi :

Maksudnya :
"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai..." (Al-Imran :ayat 103)
Sabda Rasulullah S.A.W :

Maksudnya : "Kamu melihat orang-orang mukmin itu berkasih sayang seperti satu jasad. Apabila salah satu anggota badan itu sakit, nescaya anggota-anggota yang lain turut sama merasainya dengan berjaga dan demam." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

2) At-Tafahum
Saling perlu cuba sedaya upaya untuk memahami sahabat-sahabat yang lain dengan menghindari sifat-sifat mazmumah. Ini membawa maksud melahirkan persefahaman antara satu sama lain yang mana akhirnya akan menghasilkan keseragaman dalam sikap, tindakan dan amalan dalam melaksanakan ajaran Islam.

Apabila persefahaman yang baik telah terbentuk maka perasaan syak wasangka, iri hati dan hasad dengki akan terhindar sebaliknya akan mewujudkan rasa kasih sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain. Oleh itu, mestilah ada muhasabah dan nasihat menasihati sesama ahli sepertimana dalam firman Allah S.W.T yang bermaksud :

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran." (Al-Asr : ayt 1-4)

Sabda Rasulullah S.A.W yg bermaksud " Agama itu nasihat.."

3) At-Takaful


Saling bantu-membantu dan mengambil berat antara satu sama lain dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang. Ianya akan memberi kesan pada diri setiap ahli usrah yang mana mereka akan sentiasa rasa dihargai dan diperlukan. Sifat bantu membantu ini akan meneguhkan lagi persaudaraan Islam antara satu sama lain. Sabda Rasulullah SAW :
"Barangsiapa memasukkan kegembiraan kepada sebuah keluarga dari kalangan kaum muslimin, maka Allah tidak melihat balasan (yang lebih tepat) baginya kecuali syurga.."

rujukan silibus SETUP..





Gratisan Musik

TUJUH PANDUAN UNTUK NUQABA’





















PANDUAN 1: MENGENALI AHLI USRAH DENGAN BAIK

Naqib perlu mengenali ahli usrahnya dengan mendalam. Selidiki latar belakang mereka: diri, keluarga, pendidikan, pekerjaan, perkara yang disukai, perkara yang dibenci dan sebagainya. Ikuti perkembangan hidup mereka: kebajikan, kewangan dan seumpamanya. Maklumat-maklumat itu boleh digunakan untuk mentadbir usrah secara lebih berkesan. Berpandukan maklumat itu, naqib boleh bertindak dengan tepat--sesuai dengan peribadi tertentu.


PANDUAN 2: MELAKSANAKAN USRAH DENGAN RANGKA PROGRAM


Naqib mesti merangka program usrahnya sebelum usrah itu bermula. Antaranya, agihkan masa yang sesuai untuk slot bacaan al-Quran dan pentafsirannya, bacaan hadis, perbincangan tajuk khusus, pembersihan hati, dan hal ehwal semasa. Tetapkan terlebih dahulu tajuk yang hendak dibahaskan dan bahan-bahan rujukannya. Senaraikan juga perkara-perkara untuk diumumkan kepada ahli usrah. Naqib juga perlu membaca sebanyak mungkin bahan rujukan yang berkaitan dengan tajuk perbincangan.



PANDUAN 3: SEGARKAN USRAH DENGAN SUASANA PERBINCANGAN


Naqib berperanan untuk menyegarkan suasana usrah dengan perbincangan yang sihat dan terkawal. Pastikan perbincangan berfokus pada tajuk yang telah dirancang. Semasa berbincang, ahli digalakkan mengemukakan nas-nas yang sahih dan contoh-contoh dari sirah Rasulullah s.a.w. Usahakan agar perbincangan itu dikaitkan dengan realiti semasa dapat dihayati dalam kehidupan seharian.


PANDUAN 4: BERTINDAK SEBAGAI PEMIMPIN TEMPAT BERNAUNG


Naqib perlu menjadi qudwah hasanah kepada ahli-ahlinya dalam segala segi baik perbuatan, percakapan, perbelanjaan, cara bergaul dan berpakaian. Jalinkan ukhuwah sesama mereka, di dalam atau di luar usrah. Naqib juga perlu bertindak selaku kaunselor. Berbincanglah dengan mereka secara persendirian atau berkumpulan. Tanda awal seseorang naqib itu berjaya ialah apabila para ahli menjadikan dirinya sebagai tempat merujuk.

PANDUAN 5: MEMBERIKAN KERJA KEPADA AHLI

Naqib perlu memberikan tugasan yang sesuai dengan minat dan kemahiran ahlinya. Ahli itu akan berasa dihargai apabila diamanahkan dengan sesuatu tugas untuk kumpulannya. Ahli itu perlu diselia secara wajar dan minimum oleh naqib. Dengan cara ini, ahli usrah akan belajar berkomunikasi dengan lebih ramai orang dan sentiasa membina hubungan dengan naqib.


PANDUAN 6: MEMPELBAGAIKAN KESAN SAMPINGAN


Naqib boleh juga mendidik ahli usrah dengan cara-cara lain. Antara cara yang sesuai adalah seperti yang berikut:

6.1 Soalan. Kemukakan soalan kepada ahli-ahli usrah tentang tajuk-tajuk yang telah dibincangkan, termasuk isu semasa.

6.2 Penyelesaian masalah. Kemukakan masalah yang berkaitan dengan kehidupan seseorang ahli untuk diselesaikan. Contohnya, jika ahli itu pekerja yang sibuk, bincang dan selesaikan masalah agihan masa untuk tugas dan dakwah. Kes spesifik atau cerita boleh juga dikemukakan.

6.3 Permainan. Adakan "permainan" yang dapat menguji kepintaran ahli-ahli usrah. Permainan itu boleh menggunakan komputer, secara bertulis, lisan, mengira dan sebagainya. Pendekatan ini dijangka dapat mengekalkan minat ahli-ahli usrah.

6.4 Berkhemah dan berkelah. Kegiatan perkhemahan di pinggir hutan atau perkelahan di pantai sangat berkesan dalam membina ikatan persaudaraan sesama ahli usrah. Kegiatan-kegiatan seperti ini memberi peluang untuk mereka berinteraksi, melakukan kerja secara berpasukan dan membina sikap suka tolong-menolong.

PANDUAN 7: MENULIS LAPORAN PENILAIAN

Naqib perlu melakukan penilaian dari semasa ke semasa. Prestasi ahli-ahli usrah dari segi kefahaman, kesungguhan, potensi, minat, kelemahan, kekuatan perlu dinilai dan dilaporkan kepada mereka. Naqib sendiri perlu meminta komen daripada ahli-ahli usrah tentang cara pengendaliannya, tajuk perbincangan dan sumber rujukan. Berdasarkan komen itu, langkah pembetulan boleh dirancang dan dilaksanakan.


TAMBAHAN

Petikan langsung: "Tugas mendidik adalah tugas mulia di sisi Allah walaupun rumit dan memerlukan banyak pengorbanan dan persiapan. Ketua usrah hendaklah sentiasa berusaha mempertingkatkan diri sendiri. Kita hendaklah sentiasa menggantungkan setinggi harapan kepada Allah agar dibekalkan dengan kekuatan untuk terus bekerja dan berjihad untuk Islam. Janji Allah memang benar. Sesiapa yang menolong Allah, nescaya Allah akan menolongnya dan meninggikan kedudukannya." Ummu Azmi.

*Ummu Azmi, "Petua Menjadi Ketua Usrah Yang Berjaya" dalam majalah Ummi, Julai 1990, 34-35.


...siiru 'ala barakatillah, semoga berjaya...

Monday, June 27, 2011