Pages

Saturday, July 2, 2011

HIKMAT AYAT KURSI

Hikmat Ayat Al-Kursi mengikut Hadis-hadis:

1) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah SWT mewakilkan dua orang Malaikat memeliharanya hingga subuh.

2) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir setiap sembahyang Fardhu, dia akan berada dlm lindungan Allah SWT hingga sembahyang yang lain.

3) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap sembahyang,tidak menegah akan dia daripada masuk syurga kecuali maut dan barang siapa membacanya ketika hendak tidur, Allah SWT memelihara akan dia ke atas rumahnya, rumah jirannya dan ahli rumah-rumah disekitarnya.

4) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap2 sembahyang fardhu, Allah SWT menganugerahkan dia setiap hati orang yg bersyukur,setiap perbuatan orang yg benar, pahala nabi2 serta Allah melimpahkan padanya rahmat.

5) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah SWT mengutuskan 70,000 Malaikat kepadanya - mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya.

6) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir sembahyang Allah SWT akan mengendalikan pengambilan rohnya dan dia adalah seperti orang yang berperang bersama Nabi Allah sehingga mati syahid.

7) Barang siapa yang membaca ayat Al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah SWT berkenan memberi pertolongan kepadanya.

Dari Abdullah bin 'Amr r.a., Rasulullah S.A.W. bersabda,
Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat..."

ANTARA NOKIA C3 dgn BLACKBERRY


Salam buat sahabat2 yang tercinta...

Antara nokia c3 dengan Blackberry, ataupun antara myvi dengan lamborghini, which one is better?

Meh sini, tapi hari ni kita bukannya nak cakap pasal phone atau kereta, namun kita ingin bicara soal syukur.

Ya, syukur!

Macam bosan tajuk syukur?

Takpe, kita buat ia jadi menarik!!!!

Kita mulakan dengan satu status di FB:

" Betullah kan, apa yang kita nak, tak semestinya kita dapat, and when it comes to me myself, I rasa macam kecewa sangat,

macam hari tu, I minta papa I Acer yang warna silver tu, tapi dia bagi I Macbook Apple lah pulak,

then waktu I punya birthday kelmarin, I mintak MP3 sebab yang lama I tu dah rosak, tapi boleh pulak papa I bagi iPod nano.

Ish.. tak pernah nak ikut apa yang I nak..

Lepas tu, hari tu phone I rosak, so I nak lah Nokia c3 yang baru time tu sebab I suka QWERTY keypad, tapi papa I bagi I blackberry pulak.

Lepas tu, I punya PVP rosak, so sebab I ni memang gila game, I mintaklah juga yang baru untuk ganti yang rosak tu..But, you know what.. papa I pergi bagi PSP pulak kat I..

And I baru dapat lesen P, so I request lah Viva, tapi mama and papa rupanya dah pakat2 belikan I Porsche pulak.

I sedih la macam ni, apa yang I nak, mostly tak dapat..

Papa I ni sayang ke tak dekat I sebenarnya??

Papa selalu tak penuhi keinginan I. Sometimes I rasa dunia macam tak adil.

Tapi nak buat macam mana, terima jelah, kan..hmm...:-("

Apa perasaan korang bila ada kawan2 korang yang bikin status macam ni kat FB??

Apa yang bermain di fikiran korang kalau ada kawan2 datang mengadu kat korang tentang hidupnya yang ada 'masalah' keinginan yang selalu tidak dipenuhi macam ni??

Apa yang akan berlegar di hati korang apabila terjumpa makhluk yang pesyen macam ni??

Mesti kita akan pelik, pelik dan pelik + menyampah kan?

Manakan tidak, dia macam tak bersyukur sangat2, kan?

Kepala lutut dia papa dia tak sayang kat dia.

Yelah, memanglah apa yang Papa dia bagi tu, tak sama dengan apa yang dia minta, tapi apa yang papa dia bagi tu, jelas trang tang tang much better then apa yang dia minta, request tu..

Nak banding BB dengan C3??

Nak banding PSP dengan PVP??

Nak banding iPod nano dengan MP3??

Hey, ikut nilaian dunia, tentulah yang pertama tu lagi berhaga dan baik. Lagi mau sedih ka??

So, apa masalahnya budak ni kan? Sakit jiwa apa?

Dah tu boleh sedih2, touching2 pulak, claim papa dia tak sayang dia.. tak adil.. etc..etc..

Korang pernah jumpa tak orang dok buat perangai macam ni?

Pernah??

Saya pernah.

Banyak kali.

Dan kadang-kadang saya pun buat perangai yang sama..

Sebab bila Allah dah bagi sesuatu yang tentu-tentunya yang terbaik buat saya, kadang-kadang terbit perasaan untuk menidakkan atau lebih tepat lagi kurengg suka dengan apa yang Allah dah takdir tu. Padahal, DIA tahu yang terbaik.. dan apa yang Dia bagi tu, sudah terkandung hikmah yang banyak, itupun kalau kita berfikir sedalamnya untuk menggali hikmah tersebut.

Samalah dengan kes budak mental yang tak puas hati dengan papa dia tu.

Disebabkan material2 yang disenaraikan tu adalah berbentuk keduniaan, dan kita boleh nampak dengan jelas ikut logik akal mana yang lebih berharga, so kita tahu sangat-sangat yang budak tu sangat beruntung sebenarnya walaupun papa dia tak dapat apa yang dia minta, sebab apa yang papa dan mama dia provide tu jaaauuuhhhh lebih baik dan berharga (Ikut nilai dunia lah..)

Tapi bagi pihak budak tu, dia still rasa tak syok dan susah nak terima apabila keinginan dia tak dipenuhi. Ini bukan beri betis nak peha, ini sudah beri peha, tak mahu, nak jugak mintak betis tak sudah2.....Faham tak?

Sama lah macam kita ni manusia, inshaAllah, apa yang Allah bagi tu memang yang dah terbaik buat kita, tapi disebabkan kita ni masih ada sifat sombong, perasan bagus dan tak bersangka baik dengan Allah, itulah.. jadi macam budak yang kat atas tu.

Kita kadang-kadang tak berpuas hati dengan apa yang Allah kurniakan.

"Kenapalah aku ni tak berapa nak cun, cantik, langsing, comel, kulit putih bersih bebas cela macam si yana Gaga (bukan nama sebenar) tu..hmm..."(sambil belek2 wajah di cermin)

Mungkin kita pernah terfikir macam ni..

Kenapalah kita tak macam tu..kenapalah kita tak macam ni...

Pernah tak kita terfikir, mungkin kalau kita ni cantik cun melecun atau kacak bergaya bermuka jambu, kita tak cukup kuat untuk menghaadapi godaan para jejaka dan gadis?

Mungkin kalau kita berwajah 'market' bak kata orang, kita akan selalu diusha-usha dan mula-mula mungkinlah kita boleh menepis godaan-godaan tersebut, tapi lama-lama? Kalau dah makin ramai? Yakin ke kita mampu nak melawan semua tu? Allah tahu segalanya, Allah tahu takat mana kemampuan hambanya, maka bersyukurlah kita. Mungkin dengan wajah yang sedang-sedang macam ni, Allah sedang memelihara kita daripada menjadi tatapan mata2 laser miang di luar sana. Mungkin dengan wajah yang sedang-sedang begini, Allah menjaga ketenteraman hati kita agar tidak terkocak dengan mana2 lelaki atau perempuan yang ingin hadir menghulurkan 'kasih sayang' plastik berdasarkan rupa semata-mata.

Alhamdulillah, bersyukur dengan apa yang Allah kurniakan.

Lagipun, kan beauty is in the eye of the beholder?? Pedulik apa orang cakap muka kita macam cekodok sekalipun..

Lagi satu, mungkin kita pernah berhadapan dengan situasi macam ni:

"Kan bagus kalau aku kaya macam dia.. Mintak je apa pun, semua daddy dia bagi. Nak kereta dapat.. Latest phone semua dia sapu dulu. Melancong dah berapa kali dah tu, tak terkira banyaknya. Aku ni..naik kapal terbang pun tak pernah.. isk..isk..isk.."

Jadi? Yakin ke kalau kita kaya atau lebih berharta sikit, kita akan mampu untuk terus tunduk dalam tawadhu' kepada Allah, yakin ke kita ni dah cukup kebal untuk menahan hati daripada rasa riak, dan takabbur setiap kali ada yang terlopong mata melihat stuff kita yang branded, dan banglo yang megah berdiri?

Mungkin dengan menjadikan kita hidup dalam sederhana, Allah memelihara kita dari segala rasa yang tidak sepatutnya itu. Kita tidak akan berbangga dengan apa yang kita tidak punya, dan inshaAllah hati kita akan lebih tenang dan tenteram dengan hidup yang tidak bermegah-megah. Bersyukur dengan apa yang kita ada. Itu perlu. Sangat perlu.

Bersyukur dalam erti kata yang sebenarnya, bukan sekadar "bersyukur jelah..", namun dalam hati masih terselit kekesalan dan kekecewaan, juga rasa dengki yang membara-bara terhadap mereka yang Allah kurniakan harta dunia yang lebih sedikit.

Senang cakap, namun sangat susah nak buat..

InshaAllah, sentiasa bersangka baik dengan Allah, apa yang DIA kurniakan, itulah yang terbaik buat kita.

Namun, jangan pula disalah tafsir. Bukanlah bermakna kita perlu berserah bulat2 tanpa usaha untuk menjadi lebih baik dengan alasan bersyukurlah dengan apa yang ada..

Berusahalah untuk menjadi orang kaya yang bertaqwa seperti para sahabat Rasulullah, tidak salah pun begitu.

Berusahalah menjaga diri mencantikkan wajah untuk tatapan suami tercinta, lagilah tidak salah, dan bukan juga dalam kategori tidak bersyukur.

Namun niatnya haruslah jelas, matlamatnya satu, iaitu Allah.

Keredhaan Allah, itu yang kita dambakan..

Oh ya, buat si cantik dan si kaya, jangan pula bersedih hati..

Jadilah si cantik yang bersyukur, dan si kaya yang bersyukur..(^_^)

Ingatlah, semua yang Allah kurniakan, hanyalah pinjaman semata-mata. Sampai masa, segala-galanya harus dikembalikan..

Wallahu'alam...

* perkongsian dari fb sahabat...

Tuesday, June 28, 2011

MODUL DAKWAH & AMAL JAMAI'E


TUGAS SIAPAKAH ITU?

MASA: 20 minit

OBJEKTIF:
• Bersatu teguh, bercerai roboh
• Bekerjasama dalam melakukan sesuatu kerja melahirkan idea yang kreatif dan hasil kerja yang sempurna
• Hindari sifat pentingkan diri sendiri

PELAKSANAAN:
• Fasi akan membacakan handout yang diberikan kepada peserta
• Tanya peserta apa yang mereka faham dari bacaan tersebut
• Fasi beri ulasan


• Fasi boleh menggunakan modul tambahan sekiranya ada masa terluang


LAMPIRAN

Kisah ini adalah tentang
Empat orang yang bernama
Semua, Seseorang,
Sesiapa dan Tiada

Terdapat tugas mustahak
Untuk disempurnakan dan
Semua diminta untuk melakukannya

Sesiapa yakin dapat melakukannya
Seseorang akan melakukannya

Sesiapa mungkin telah melakukannya,
Tetapi Tiada yang melakukannya

Seseorang menjadi marah terhadapnya
Kerana itu tugas Semua

Semua menganggap
Sesiapa sahaja dapat melakukannya
Tiada yang menyedari bahawa
Semua tidak mungkin melakukannya

Perkara ini berakhir dengan
Semua mencemuh
Seseorang apabila
Tiada yang melakukannya apa yang
Sesiapa mungkin telah lakukan.

SEBENARNYA….
TUGAS SIAPAKAH ITU?

PENGENALAN USRAH


PENGENALAN

Islam sangat mengambil berat terhadap pembentukan usrah daripada penganut-penganutnya. Usrah adalah penting bagi mewujudkan suasana kasih sayang dan hormat menghormati. Melalui pembentukan usrah dapat membimbing mereka kepada nilai-nilai yang luhur, memperkukuhkan ikatan di antara mereka dan mengangkat darjat ukhuwah (persaudaraan) mereka dari segenap aspek menuju kepada realiti dan amalan yang nyata.

Usrah bererti keluarga. Dalam konteks remaja bermaksud ikatan yang wujud antara ahli-ahli berasaskan aqidah Islam, ukhuwah fillah dan amal Islami. Usrah adalah ikatan yang menjadi penggerak kepada sesebuah gerakan Islam dan institusi tarbiah yang berkesan untuk melatih ahli dengan sifat-sifat kepimpinan dan pengorbanan yang tinggi untuk Islam.

RUKUN USRAH

Pada dasarnya, usrah mengandungi tiga elemen penting yang mana perlu dipelihara dan dihayati agar usrah yang dibentuk akan mencapai matlamatnya. Tiga rukun tersebut ialah:

1) At-Ta'aruf

Saling kenal-mengenali secara mendalam daripada awal usrah dan secara berterusan atas kesedaran berkasih sayang semata-mata kerana Allah sehingga masing-masing merasakan bahawa setiap ahli adalah sebahagian dari dirinya. Firman Allah dalam Al-Quran :

Maksudnya :
"Sesungguhnya orang-orang mu'min itu adalah bersaudara.." (Al-Hujuraat : ayat 10)

Firman Allah Taala lagi :

Maksudnya :
"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai..." (Al-Imran :ayat 103)
Sabda Rasulullah S.A.W :

Maksudnya : "Kamu melihat orang-orang mukmin itu berkasih sayang seperti satu jasad. Apabila salah satu anggota badan itu sakit, nescaya anggota-anggota yang lain turut sama merasainya dengan berjaga dan demam." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

2) At-Tafahum
Saling perlu cuba sedaya upaya untuk memahami sahabat-sahabat yang lain dengan menghindari sifat-sifat mazmumah. Ini membawa maksud melahirkan persefahaman antara satu sama lain yang mana akhirnya akan menghasilkan keseragaman dalam sikap, tindakan dan amalan dalam melaksanakan ajaran Islam.

Apabila persefahaman yang baik telah terbentuk maka perasaan syak wasangka, iri hati dan hasad dengki akan terhindar sebaliknya akan mewujudkan rasa kasih sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain. Oleh itu, mestilah ada muhasabah dan nasihat menasihati sesama ahli sepertimana dalam firman Allah S.W.T yang bermaksud :

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran." (Al-Asr : ayt 1-4)

Sabda Rasulullah S.A.W yg bermaksud " Agama itu nasihat.."

3) At-Takaful


Saling bantu-membantu dan mengambil berat antara satu sama lain dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang. Ianya akan memberi kesan pada diri setiap ahli usrah yang mana mereka akan sentiasa rasa dihargai dan diperlukan. Sifat bantu membantu ini akan meneguhkan lagi persaudaraan Islam antara satu sama lain. Sabda Rasulullah SAW :
"Barangsiapa memasukkan kegembiraan kepada sebuah keluarga dari kalangan kaum muslimin, maka Allah tidak melihat balasan (yang lebih tepat) baginya kecuali syurga.."

rujukan silibus SETUP..





Gratisan Musik

TUJUH PANDUAN UNTUK NUQABA’





















PANDUAN 1: MENGENALI AHLI USRAH DENGAN BAIK

Naqib perlu mengenali ahli usrahnya dengan mendalam. Selidiki latar belakang mereka: diri, keluarga, pendidikan, pekerjaan, perkara yang disukai, perkara yang dibenci dan sebagainya. Ikuti perkembangan hidup mereka: kebajikan, kewangan dan seumpamanya. Maklumat-maklumat itu boleh digunakan untuk mentadbir usrah secara lebih berkesan. Berpandukan maklumat itu, naqib boleh bertindak dengan tepat--sesuai dengan peribadi tertentu.


PANDUAN 2: MELAKSANAKAN USRAH DENGAN RANGKA PROGRAM


Naqib mesti merangka program usrahnya sebelum usrah itu bermula. Antaranya, agihkan masa yang sesuai untuk slot bacaan al-Quran dan pentafsirannya, bacaan hadis, perbincangan tajuk khusus, pembersihan hati, dan hal ehwal semasa. Tetapkan terlebih dahulu tajuk yang hendak dibahaskan dan bahan-bahan rujukannya. Senaraikan juga perkara-perkara untuk diumumkan kepada ahli usrah. Naqib juga perlu membaca sebanyak mungkin bahan rujukan yang berkaitan dengan tajuk perbincangan.



PANDUAN 3: SEGARKAN USRAH DENGAN SUASANA PERBINCANGAN


Naqib berperanan untuk menyegarkan suasana usrah dengan perbincangan yang sihat dan terkawal. Pastikan perbincangan berfokus pada tajuk yang telah dirancang. Semasa berbincang, ahli digalakkan mengemukakan nas-nas yang sahih dan contoh-contoh dari sirah Rasulullah s.a.w. Usahakan agar perbincangan itu dikaitkan dengan realiti semasa dapat dihayati dalam kehidupan seharian.


PANDUAN 4: BERTINDAK SEBAGAI PEMIMPIN TEMPAT BERNAUNG


Naqib perlu menjadi qudwah hasanah kepada ahli-ahlinya dalam segala segi baik perbuatan, percakapan, perbelanjaan, cara bergaul dan berpakaian. Jalinkan ukhuwah sesama mereka, di dalam atau di luar usrah. Naqib juga perlu bertindak selaku kaunselor. Berbincanglah dengan mereka secara persendirian atau berkumpulan. Tanda awal seseorang naqib itu berjaya ialah apabila para ahli menjadikan dirinya sebagai tempat merujuk.

PANDUAN 5: MEMBERIKAN KERJA KEPADA AHLI

Naqib perlu memberikan tugasan yang sesuai dengan minat dan kemahiran ahlinya. Ahli itu akan berasa dihargai apabila diamanahkan dengan sesuatu tugas untuk kumpulannya. Ahli itu perlu diselia secara wajar dan minimum oleh naqib. Dengan cara ini, ahli usrah akan belajar berkomunikasi dengan lebih ramai orang dan sentiasa membina hubungan dengan naqib.


PANDUAN 6: MEMPELBAGAIKAN KESAN SAMPINGAN


Naqib boleh juga mendidik ahli usrah dengan cara-cara lain. Antara cara yang sesuai adalah seperti yang berikut:

6.1 Soalan. Kemukakan soalan kepada ahli-ahli usrah tentang tajuk-tajuk yang telah dibincangkan, termasuk isu semasa.

6.2 Penyelesaian masalah. Kemukakan masalah yang berkaitan dengan kehidupan seseorang ahli untuk diselesaikan. Contohnya, jika ahli itu pekerja yang sibuk, bincang dan selesaikan masalah agihan masa untuk tugas dan dakwah. Kes spesifik atau cerita boleh juga dikemukakan.

6.3 Permainan. Adakan "permainan" yang dapat menguji kepintaran ahli-ahli usrah. Permainan itu boleh menggunakan komputer, secara bertulis, lisan, mengira dan sebagainya. Pendekatan ini dijangka dapat mengekalkan minat ahli-ahli usrah.

6.4 Berkhemah dan berkelah. Kegiatan perkhemahan di pinggir hutan atau perkelahan di pantai sangat berkesan dalam membina ikatan persaudaraan sesama ahli usrah. Kegiatan-kegiatan seperti ini memberi peluang untuk mereka berinteraksi, melakukan kerja secara berpasukan dan membina sikap suka tolong-menolong.

PANDUAN 7: MENULIS LAPORAN PENILAIAN

Naqib perlu melakukan penilaian dari semasa ke semasa. Prestasi ahli-ahli usrah dari segi kefahaman, kesungguhan, potensi, minat, kelemahan, kekuatan perlu dinilai dan dilaporkan kepada mereka. Naqib sendiri perlu meminta komen daripada ahli-ahli usrah tentang cara pengendaliannya, tajuk perbincangan dan sumber rujukan. Berdasarkan komen itu, langkah pembetulan boleh dirancang dan dilaksanakan.


TAMBAHAN

Petikan langsung: "Tugas mendidik adalah tugas mulia di sisi Allah walaupun rumit dan memerlukan banyak pengorbanan dan persiapan. Ketua usrah hendaklah sentiasa berusaha mempertingkatkan diri sendiri. Kita hendaklah sentiasa menggantungkan setinggi harapan kepada Allah agar dibekalkan dengan kekuatan untuk terus bekerja dan berjihad untuk Islam. Janji Allah memang benar. Sesiapa yang menolong Allah, nescaya Allah akan menolongnya dan meninggikan kedudukannya." Ummu Azmi.

*Ummu Azmi, "Petua Menjadi Ketua Usrah Yang Berjaya" dalam majalah Ummi, Julai 1990, 34-35.


...siiru 'ala barakatillah, semoga berjaya...